[VIDEO] Pelik belut yang dibeli suami, hitam bersisik kepalanya kembang dalam singki! Rupanya ular sedang ratah ayam
“SAYA ingatkan belut.”
Begitulah luahan seorang wanita yang berdepan detik cemas apabila belut yang disangka berada di dalam singki di dapur rumahnya sebenarnya merupakan seekor ular senduk.
@widaaa63 Takot. Hati2 lah semua. Selamat jumpa kat aku. Anak2 aku selalu p kawasan tu panjat2 tabletop tu nak amik camca and cawan.. huhhhh
♬ original sound - WiiidDa
Berkongsi cerita kepada mStar, wanita berkenaan, Siti Wahida Abd Wahab berkata, kejadian berlaku di kediamannya di Jitra, Kedah pada Khamis.
Mesra disapa Wida, dia memberitahu bahawa ketika itu dia baru selesai makan tengah hari dan mahu mencuci pinggan di dapur.
“Sampai je di singki, saya nampak macam belut dengan bekas yang berisi lebihan ayam mentah. Pada mulanya saya ingatkan suami yang letak belut kat situ.
“Saya terdiam, loading beberapa saat sehingga nampak bentuk kepala kembang seperti ular senduk, dengan keadaannya sedang cuba makan ayam mentah,” katanya ketika dihubungi.
Ketika kejadian, Wida mahu mencuci pinggan di singki.
Tanpa berfikir panjang, Wida yang berusia 29 tahun berkata, dia terus lari berpatah balik ke ruang tamu dan mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Sewaktu pasukan bomba tiba, ular senduk tu sudah beralih ke rak yang menempatkan pinggan, mangkuk.
“Memang saya sangat terkejut sebab ia merupakan kejadian pertama rumah dimasuki ular,” ujarnya yang berasal dari Alor Setar.
Seekor ular senduk disangka belut.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia sebenarnya tidak memasak belut mahupun ikan keli di rumah.
“Suami pernah beli dan bawa balik ke rumah, tapi saya tak reti siang belut atau ikan keli kerana badannya yang lembut. Saya geli nak pegang.
“Biasanya suami yang buatkan dan kakak yang datang ke rumah akan masakkan. Jadi, hairan juga kenapa tiba-tiba ada belut dalam singki.
“Tapi saya perhati dulu sebab dari jauh nampak hitam dan panjang, tiba-tiba sedar kulitnya tak licin seperti belut tapi bersisik,” katanya lagi.
Pasukan JBPM membantu menangkap reptilia itu.
Wida yang merupakan perunding hartanah berkata, lebihan ayam mentah itu yang sepatutnya dimasukkan ke dalam peti sejuk terpaksa dibuang akibat insiden itu.
“Ayam separuh tu saya tinggalkan sekejap di singki selepas masak ayam goreng bawang putih. Sudahnya ayam tu yang kena kesan ‘ngap’ ular tu saya buang,” ujarnya sambil menambah kemungkinan reptilia itu masuk ke rumahnya melalui pintu belakang yang terbuka ketika kejadian.
Ular senduk berjaya ditangkap.
Dalam pada itu, kata Wida, dia bersyukur kerana terselamat dalam kejadian yang membuatkan dirinya nyaris dipatuk ular.
“Cuma sekarang masih trauma kalau nak pergi ke singki, terbayang waktu ular dok makan ayam tu. Tapi saya tak ada pilihan lain lebih-lebih lagi nak bancuh susu untuk anak minum.
“Saya akan perhati kiri dan kanan dulu. Saya juga akan lebih berhati-hati selepas ini, risau kejadian berulang,” katanya.
Video yang merakamkan pasukan JBPM menangkap ular senduk di singki dapurnya meraih lebih sejuta tontonan selepas dimuat naik di TikTok menerusi akaun @widaaa63.
Klik sini untuk close
Comments
Post a Comment