Mayat lelaki cuba selamatkan dua beradik lemas ditemui

Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan dua beradik perempuan yang lemas di Pantai Bagan Lalang, di sini, ditemui, hari ini.
Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang, Mohd Bukhari Md Shahar berkata, mangsa Mohd Faizal Mahasan, 30, ditemui kira-kira jam 9.35 pagi.
“Mayat mangsa ditemui pada jarak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, media melaporkan dua beradik perempuan meninggal dunia akibat lemas ketika berkelah di Pantai Bagan Lalang.
Dalam kejadian itu, dua beradik perempuan mangsa lemas dikenali Asya Tasnim Muhammad Zafifi, 9, dan adiknya, Aris Noraini, 7, disahkan meninggal dunia.
Mohd Faizal yang lemas pula berasal dari Puchong Perdana datang bercuti ke pantai itu bersama isteri, Nur Fatihah Mohamad Yusoff, 26.
Operasi mencari dan menyelamat disertai bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Skuad Pantas Majlis Perbandaran Sepang.
Dalam kejadian itu, katanya, mangsa dua kanak-kanak itu ditemui 50 meter dari lokasi mereka dilaporkan lemas dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Comments
Post a Comment