Imam dijemput Ilahi kurang 12 jam selepas isterinya meninggal

 

Seorang imam dan bilal di Surau Haji Taha di Kampung Sungai Lurus Darat, Senggarang, dekat sini meninggal dunia kurang 12 jam selepas isterinya kembali ke Rahmatullah pada Rabu.

Isterinya, Hafsah Ahmad, 83, menghembuskan nafas terakhir terlebih dahulu pada jam 1.45 pagi di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini kerana angin ahmar selain menghidap ketumbuhan di otak.

Muhammad Nasir, 81, atau lebih dikenali sebagai Haji Ali dalam kalangan penduduk Kampung Sungai Lurus Darat pula meninggal dunia pada jam 1.05 petang hari sama iaitu beberapa jam selepas isterinya itu selamat dikebumikan pada jam 11.30 pagi.

Menurut anak saudara kepada pasangan tersebut, Jailan Salikin, 64, dia mengetahui berkenaan perkara itu selepas beberapa jam Allahyarham Hafsah selamat dikebumikan.

“Saya mendapat panggilan memaklumkan Haji Ali pula meninggal dunia. Sebelum itu, arwah dilihat agak gelisah selepas isterinya dimasukkan ke wad.

“Sebelum pemergiannya, Haji Ali kelihatan sihat. Pada Isnin lalu, isterinya ketika itu sedang mendapat rawatan di HSNI dan arwah meminta izin mahu menziarah.

“Haji Ali risau kerana isterinya baru menjalani pembedahan. Bagaimanapun, sebaik melihat keadaan isterinya, arwah tiba-tiba pengsan.

“Haji Ali dimasukkan ke wad disebabkan tekanan darah rendah. Pagi semalam, arwah mendapat tahu isterinya sudah tiada,” katanya yang turut memaklumkan pasangan berkenaan adalah pesara tentera dan guru agama.

Menurut Jailan, sepanjang hayatnya, pasangan itu sentiasa bersama termasuk ke surau.

Sementara itu, kariah Surau Haji Taha, Abdul Rahman Masrikin berkata, sepanjang hayatnya, arwah yang juga bendahari surau adalah penyumbang tetap yang sama-sama melunaskan bil elektrik dan air rumah ibadat berkenaan.

“Pasangan ini banyak memainkan peranan menghidupkan surau dengan pelbagai aktiviti hingga menarik kehadiran lebih ramai jemaah.

“Saya sudah lama mengenali mereka. Kedua-duanya cukup pemurah selain disenangi kariah dan jemaah di surau ini,” katanya. — Sinar Harian

Comments

Popular posts from this blog

Wanita murung nampak tuan rumah warga Singapura hidu ‘spender’ merah… Londeh tuala sambil onani dalam bilik sewa

Adik bongsu Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Nik Razi meninggal dunia

[VIDEO] Meremang! Viral Sosok Hitam Tinggi Muncul Di Ruangan ICU Jam 3 Pagi