[VIDEO] Satu maut, empat cedera kereta terbalik di lebuh raya
Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera selepas terlibat dalam nahas membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 192.6 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Selamat Besar, 42, yang memandu kereta jenis Mitsubishi Lancer meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Empat lagi mangsa warga Singapura berusia antara 28 sehingga 56 tahun yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima mengalami luka-luka dan dikejarkan ke hospital Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku apabila Estima dinaiki empat sekeluarga itu mengubah laluan dari lorong kiri ke lorong kanan, namun telah bergesel dengan kereta Lancer dipandu Mohd. Selamat.
“Ketika kejadian keluarga tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highland, manakala Mohd. Selamat dari arah Johor ke Melaka.
“Setibanya di lokasi, kereta Estima dipandu lelaki berusia 56 tahun itu telah menukar laluan ke kanan dan telah bergesel dengan Lancer terbabit, menyebabkan kedua-dua kenderaan tersebut terbabas lalu terbalik,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, akibat kemalangan itu, Mohd. Selamat yang merupakan penyelia tapak projek mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Klik sini untuk close

Comments
Post a Comment