[VIDEO] Imam Masjid Muadz Bin Jabal rebah ketika bermain badminton sebelum disahkan meninggal dunia
@liputan_7 Imam Masjid Muadz Bin Jabal di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, Muadzeen Ackil meninggal dunia ketika sedang bermain badminton
♬ Sad background music of piano and strings - Rinotzr
Imam Masjid Muadz Bin Jabal, Taman Setiawangsa, di sini, Ustaz Muadzeen Ackil meninggal dunia semalam.
Difahamkan, beliau yang juga johan qari Majlis Tilawah al-Quran peringkat Wilayah Persekutuan 2020 rebah secara tiba-tiba ketika sedang bermain badminton di sebuah gelanggang.
Beliau kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum disahkan meninggal dunia.
Pendakwah bebas, Shahrizan Daud At Turabi turut memuat naik perkongsian mengenai pemergian Ustaz Muadzeen di Facebooknya, semalam.
Menurutnya, beliau juga pernah bertugas bersama Muadzeen sebagai imam di masjid berkenaan dan menyifatkan arwah seorang imam ratib yang berdedikasi menjalankan tugas serta amanahnya.
“Awal subuh Jumaat hari yang penuh berkat ini, saya mendapat perkhabaran duka dan menyedihkan, rakan imam yang sama berkhidmat di Masjid Muadz Bin Jabal, Ustaz Muadzeen Ackil meninggal dunia.
“Dia rebah selepas bermain badminton malam tadi (kelmarin) dan tidak berjaya dipulihkan serta disahkan meninggal dunia,” katanya dalam catatan di FB.
Katanya, Ustaz Muadzeen berasal dari Lombok, Indonesia dan dengan usaha serta sumbangan jemaah, beliau menyelaraskan pembinaan masjid di Lombok yang menjadi pusat pengajian Islam dan al-Quran juga dinamakan Masjid Muadz bin Jabal.
“Di Masjid Muadz (Bin Jabal), beliau mengajar jemaah membaca al-Quran, tajwid dan taranum. Beliau juga adalah Johan Qari Wilayah Persekutuan dan mewakili Wilayah Persekutuan di Musabaqah al-Quran Kebangsaan.
“Sepanjang saya menjadi Ketua Imam di Masjid Muadz Bin Jabal, arwah adalah seorang imam ratib yang sangat dedikasi dalam menjalankan tugas serta amanahnya, disenangi masyarakat setempat dan kehidupannya banyak dihabiskan dengan al-Quran,” katanya.
Semakan Harian Metro di FB mendapati ramai berkongsi mengenai pemergian Ustaz Muadzeen termasuk Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Comments
Post a Comment