[VIDEO] Arwah suami tinggal ‘bekal’ buat keluarga
“Ketika hidupnya dia menyenangkan saya dan anak, malah selepas arwah pergi selama-lamanya masih ada ‘bekal’ buat kami meneruskan kehidupan,” luah, Kasmara Kadir, 48.
Kasmara adalah balu kepada Nik Nordin Jusof, 51, pemandu bas ekspres yang meninggal dunia pada Hari Raya kedua di Hospital Hospital Sultanah Nurzahirah, Kuala Terengganu, selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 April lalu.
Beliau yang kini menjadi tonggak utama keluarga, bersyukur menerima bayaran pencen penakat sebanyak RM1,310 sebulan selain Faedah Pengurusan Mayat sejumlah RM2,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan, sekali gus meringankan bebannya dan anak.
“Kami masih merasai pemergian arwah namun reda ketentuan Illahi. Raya tahun ini amat menyedihkan kerana arwah pergi buat selama-lamanya ketika orang lain bergembira menyambut Syawal.
“Bagaimanapun, saya dan anak sempat beraya di hospital dengan arwah serta saling bermaaf-maafan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir pada raya kedua jam 4.02 pagi.
“Tiada lagi gurau senda suami dan sikapnya yang peramah akan sentiasa dirindui,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pulau Melaka, di sini, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, pasangan suami isteri maut manakala anak mereka cedera selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 21 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Sungai Ikan, Kuala Nerus, Terengganu, pada 21 April.
Dalam kejadian itu, pemandu Perodua Myvi, Che Ku Yusoff Ali Che Ku Embong, 52, dan isteri, Siti Faridaf Ahmad, 46, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada anggota badan manakala Nik Nordin, dibawa ke hospital kerana cedera parah.
Ibu kepada lima anak berusia 13 sehingga 28 tahun itu turut menerima lawatan daripada Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob, dan Pengerusi Eksekutif Ekspres E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail, yang juga majikan kepada arwah suaminya.
Kasmara berterima kasih kepada pihak majikan suami yang banyak membantu selain memudahkan urusannya dengan PERKESO memandangkan dia sendiri tiada pengalaman berkerja.
“Insya-Allah, pencen penakat yang diterima ini akan saya gunakan sebaiknya untuk membesarkan anak kerana dua daripada mereka masih lagi bersekolah. Saya akan terus kuat,” katanya.
Klik sini untuk close

Comments
Post a Comment