Mayat wanita berbaju ‘kelawar’ ditemui dalam longkang

 

Penemuan mayat dipercayai seorang wanita dalam longkang di belakang sebuah rumah di Taman Perpaduan, di sini semalam masih dalam siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata setakat ini kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan pihaknya sedang menunggu laporan hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu sekitar jam 5.47 petang semalam daripada orang awam.

Katanya, susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda dihantar ke lokasi kejadian sebelum menemukan mayat berkenaan di dalam longkang.

“Berdasarkan pemeriksaan, mayat wanita itu hanya memakai baju kelawar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zaidy berkata, hasil soal siasat daripada saksi kejadian, dia menyedari kejadian itu selepas terhidu bau busuk di kawasan belakang rumah berkenaan.

Beliau berkata, pada mulanya saksi memaklumkan, bau itu datang melalui tandas rumahnya dan selepas mencuci tandas berkenaan, bau busuk itu tidak hilang.

“Selepas membuka pintu belakang, dia terkejut apabila melihat mayat seorang wanita dalam longkang di belakang rumah berkenaan,” katanya.

Zaidy berkata, sepasukan pegawai dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang tiba di lokasi kejadian malam tadi menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.

Beliau berkata, mayat wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat.

“Orang ramai atau sesiapa yang kehilangan ahli keluarga diharap tampil dan membuat laporan di balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

“Setakat ini belum dapat diklasifikasikan kes ini sebagai jenayah atau sebaliknya kerana kita sedang menunggu laporan bedah siasat,” katanya.

Zaidy berkata, setakat ini identiti mayat berkenaan masih belum dikenal pasti dan tempoh mangsa meninggal dunia masih dalam siasatan.

Comments

Popular posts from this blog

Mufti Perak putuskan jarak 2 marhalah 81km