Remaja OKU maut, rakan kritikal dipanah petir ketika main bola sepak
Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) maut, manakala rakannya kritikal selepas dipanah petir ketika bermain bola sepak di padang Pekan Papar, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 3.55 petang itu, mangsa, Muhammad Zulqilfle Redzwan, 13, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 4 petang.
Berdasarkan laporan, katanya, dua remaja lelaki berusia 13 tahun disambar petir ketika masing-masing bermain bola sepak.
“Pasukan EMRS memberi rawatan awal pada mangsa yang cedera dan seterusnya menyerahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dihantar ke Hospital Papar.
“Seorang lagi mangsa bagaimanapun meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Klik sini untuk close

Comments
Post a Comment